Para wakil rakyat dan penduduk Thebes semua. Berita bencana akan kusampaikan segera. Jika cintakan Thebes dan menghormati kerabat diraja, saudara sepatutnya berkabung dan berduka. Berita yang dibawa cuma pendek, ringkas dan padat.
Permaisuri Jocasta sudah pun mangkat! Mangkat kerana tangannya sendiri dalam kejadian yang paling ngeri.
Bagaimana kisah yang hamba ingat, akan dicerita peristiwa dilihat.
Jocasta berlari masuk ke kamar, dengan wajah marah, bengis dan nanar. Pintu kamar dihempas,.... ditutup rapat. Ke tilam pengantin dihempas dirinya.... Sambil menangis ditarik rambutnya.
Jocasta meraung, menyeru Laius yang mangkat. Disebut-sebut bayi lelaki yang lahir dari benih sendiri. Bayi yang ditakdir membunuh ayahanda. Kemudian mengahwini bonda sendiri, sehingga membuah zuriat keturunan. Jocasta merintih kesal keseorangan..... Lolongannya yang memilukan tembus keluar dan jelas kedengaran pada kami.Kami terkedu, tidak tahu bagaimana membantu.
Lalu entah bagaimana, dia pun mangkat kehilangan nyawa..... Kami tidak sempat mendekati Jocasta, kerana baginda Oedipus tiba-tiba datang menerpa.. Langkahnya goyah, tergesa-gesa. Kami hairan melihat paduka. Baginda berlari ke sana ke mari, seperti seorang gila lupakan diri.
Baginda meminta pedang dari kami, sambil menyeru dan bertanya tentang Jocasta yang disebut isteri dan juga bonda sendiri. Baginda Oedipus menyebut Jocasta sebagai ibu kandung dirinya, selain sebagai ibu juga kepada anak-anaknya. Baginda mengamuk serta menggila, bagai dituntun roh derhaka. Diasak dan diterajangnya kamar Jocasta hingga pintu pecah terbuka.
Maka ternampaklah kami, satu pemandangan yang paling ngeri! Oh......! Paling memilukan..!
Jocasta tergantung di seutas tali. Jocasta telah menggantung dirinya sendiri.......
Demi Oedipus melihat Jocasta, maka merintih sedihlah baginda raja.
Dilepaskan tali penjerut leher isterinya, lalu perlahan-lahan dibaringkan permaisuri di atas ribanya.....
Perlahan Paduka Oedipus mencabut jarum peniti yang tersusuk di sanggul Jocasta. Jarum digenggam dengan kemas dan tenang... sebelum diangkat tinggi... lalu ditusuk kemata sendiri... hingga pecah langsung buta.
Sambil mengerang, paduka baginda berkata... " Tidak akan kulihat lagi segala bencana yang telah ku alami. Butalah selamanya mata yang curang, kerana melihat barang terlarang...." Ditikam matanya berkali-kali, darah berpercikkan kesana sini, membasahi wajah serta janggutnya.... Ngeri dan mual kami terasa.
Demikianlah terjadi peristiwa suami isteri dilanda sengsara. Bahagia mereka yang dahulu ternyata, berganti sedih dan aib kesudahannya pula.
Kemudian Oedipus bangun, seluruh badannya menggigil, lalu dengan lantang berseru....
"Bukalah pintu.....! Bawalah daku keluar dari istana. Tunjukkan kepada rakyat Thebes semua bahawa inilah si durjana....... Bapa sendiri dibunuhnya.. Ibu pula di....................... Ah! tidak tergamak hamba menyebutnya! "
Oedipus meminta diri dibuang dari Thebes ini sebagai menepati hukuman sendiri.
Tapi bagaimana? sedangkan baginda tidak mampu melangkah... Untuk berjalan terpaksa dipapah.
Oh! kasihan..... sakit pedihnya tidak terkira.. Oedipus menderita, tetapi didayanya juga berjalan,... selangkah demi selangkah tanpa bantuan sesiapa.
Lihat, sekarang baginda sedang berjalan keluar dari istana. Lihatlah,.. aduh,.. betapa terseksanya baginda.
Oh, lembaga malang, dulu kau paling gagah tiada tara.
Oh, mangsa permainan nasib yang menimpa...!
Langkah mahu kemana....?
Semoga yang membencinya.... Hilang bencinya...!
No comments:
Post a Comment